Monday, December 5, 2011

.::HIJRAH::.

Assalamu'alaikum..

Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan salam ma'al hijrah 1433H kepada semua penganut agama Islam yang syumul di seluruh dunia. Juga tidak lupa, selamat berpuasa sunat 'asyura.

Baiklah, pada entri kali ini, saya ingin mengetengahkan isu yang remeh apabila dipandang tetapi membawa mesej yang penting kepada kehidupan kita suatu hari nanti. Apabila berkata tentang hijrah, tentu majoriti daripada kita terkenangkan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan golongan muhajirin dari Makkatul mukarramah ke Madinatul munawwarah. Tak gitu? Alhamdulillah, bagus la kalau camtu kerana anda dapat mengingatinya dengan baik. Tetapi sampai di situ sahaja ke?

Setiap tahun hijrah silih berganti, namun ramai dalam kalangan kita yang masih di takuk lama. Sampai bilakah "trend" ini akan berakhir? Jadi, saya ingin berkongsi ilmu tentang 3 asas hijrah yang perlu dilakukan oleh setiap mukmin sejati..Insha Allah..


3 Asas Hijrah..

1. Sikap dan perbuatan

Secara keseluruhannya, segelintir umat Islam masih tidak dapat lari daripada sifat-sifat mazmumah seperti mengumpat, memfitnah, hasad dengki, iri hati, sakit hati dan lain-lain. Mengapa ini semua berlaku? Persoalan ini hanya mampu dijawab oleh hati-hati kita sahaja. Melalui konteks hijrah, ia tidak terhenti kepada penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan umat Islam semata-mata mahupun perubahan tahun hijri. Namun, ia mencakupi kesemua aspek terutamanya sikap dan perbuatan. Sebagai muslimin dan muslimat yang berjaya di dunia dan akhirat, kita hendaklah mengikis sifat-sifat mazmumah dan hiasi diri kita dengan sifat-sifat mahmudah. Setelah berusaha untuk berubah, bertawakal kepada Allah dengan amalan berdoa kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Insha Allah, berkat usaha dan tawakal kita akan mengubah diri kita kepada yang lebih baik.

2. Amal dan ketaatan

Ittaqulllah yang membawa erti bertaqwalah kepada Allah merupakan istilah yang biasa didengari ketika khutbah Jumaat berlangsung. Adakah ia hanya didengari seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri? Jika demikian, ubahlah sikap kita bersama. Sama-sama kita mengejar kebahagiaan di duniawi dan ukhrawi serta melahirkan perasaan takut kepada Allah. Lazimnya, doa akhir tahun dan doa awal tahun akan dibaca akan dibaca apabila tahun hijri berganti. Bagi mereka yang masih terkial-kial mencari sinar dalam kehidupannya, jadikanlah 1 Muharram sebagai platform terbaik untuk berubah. Setelah itu, berjinak-jinaklah dengan solat dan berazam agar tidak meninggalkannya. Selain itu, basahilah lidah dengan zikir-zikir memuji kebesaran Allah s.w.t.. Zikir yang terbaik sepanjang zaman ialah La ilaha illallah. Amalan-amalan sunat lain seperti bersedekah, berpuasa sunat, membaca al-Quran dan sebagainya perlu dipertingkatkan. Jika terdapat solat-solat fardhu yang ditinggalkan masa lalu, qadhalah dengan segera kerana ia bukanlah amalan yang boleh dilakukan oleh orang lain seperti puasa atau haji. Insha Allah, iman kita akan sentiasa bertambah.

3. Ilmu dan Pencapaian

Sejarah Islam membuktikan bahawa ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam yang telah membawa banyak perubahan dalam kesemua bidang. Antaranya ialah Ibnu Sina dalam bidang perubatan, al-Khawarizmi (matematik), Ibnu Khaldun (sains) dan lain-lain. Namun, kegagalan emapayar Islam untuk mengekalkan reputasi agama Islam sebagai agama yang berilmu menyebabkan penganut-penganutnya mundur sehingga kini. Kebanyakkannya ketinggalan dari aspek ilmu dan teknologi. Tambahan pula, masyarakat lain pula yang makin berilmu. Menuntut ilmu adalah fardhu ain yang difardhukan kepada kita. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengubah persepsi bahawa umat Islam bukanlah pengguna kepada ilmu sedia ada semata-mata. Ilmu boleh diperolehi di mana-mana sahaja sama ada melalui pendidikan formal seperti di sekolah mahupun di peringkat IPT atau pembelajaran sepanjang hayat yang berada di persekitaran kita. Bersama-sama kita mengembalikan kegemilangan tamadun Islam yang disegani suatu ketika dahulu.

Itu sahaja untuk entri kali ini. Insha Allah, ada masa kita bersua lagi. Assalamu'alaikum.

No comments:

Post a Comment